30 Disember 2010

RANCANGAN PERNIAGAAN

RP  

PENGENALAN

Selepas mengenal pasti dan memilih satu peluang perniagaan yang sesuai, usahawan perlu membuat perancangan yang teratur supaya perniagaan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sumber-sumber perniagaan dapat digunakan dengan lebih cekap. Selepas memilih satu peluang perniagaan, langkah seterusnya ialah menyediakan sebuah rancangan atau pelan perniagaan yang lengkap. Apakah yang dimaksudkan dengan rancangan perniagaan? Rancangan perniagaan adalah sebuah dokumen bertulis yang menerangkan perkara yang berkaitan dengan perniagaan yang hendak dilaksanakan. Dokumen tersebut mengandungi maklumat yang berkaitan dengan produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan serta perancangan terperinci mengenai aspek pemasaran, pengurusan, operasi dan rancangan kewangan perniagaan. Rancangan perniagaan sering juga dikenali sebagai kertas projek atau kertas kerja.

Kepentingan Rancangan Perniagaan

Salah satu kepentingan menyediakan rancangan perniagaan ialah untuk menilai sama ada peluang perniagaan yang ingin diterokai berdaya maju atau sebaliknya. Penilaian sesuatu peluang perniagaan perlu diasaskan kepada fakta dan maklumat terkini. Banyak perniagaan gagal selepas beberapa tahun dilaksanakan. Ini disebabkan oleh kegagalan pengusaha menyediakan rancangan perniagaan yang berkesan. Dalam apa jua bidang perniagaan yang ingin diceburi, penyediaan rancangan perniagaan yang lengkap merupakan langkah yang sangat penting. Seringkali dikatakan bahawa jika seseorang berhasrat untuk memulakan sebuah perniagaan tetapi gagal untuk membuat perancangan, sebenarnya dia merancang kegagalannya sendiri dalam perniagaan tersebut. Kepentingan menyediakan rancangan perniagaan secara bertulis atau dalam bentuk dokumen seringkali diabaikan oleh usahawan kecuali apabila diperlukan untuk memohon pembiayaan. Sebab itu dokumen ini sering dikaitkan dengan permohonan pinjaman daripada bank atau institusi kewangan. Keperluan menyediakan dokumen ini dilihat sebagai memenuhi syarat permohonan sahaja. Tanggapan ini menyebabkan kebanyakan usahawan sukar menilai kepentingan dan keperluan menyediakan sebuah rancangan perniagaan. Setelah permohonan mereka diluluskan (atau mungkin ditolak) dokumen tersebut tidak lagi dirujuk untuk melaksanakan projek yang dirancang. Besar kemungkinan ini berlaku kerana dokumen tersebut disediakan oleh pihak lain yang dibayar perkhidmatannya. Oleh yang demikian maklumat yang terkandung dalam rancangan perniagaan berkenaan tidak menggambarkan hasrat sebenar usahawan. Sebaliknya ia cenderung untuk mempengaruhi dan meyakinkan pihak penilai untuk meluluskan permohonan pinjaman atau pembiayaan.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan

JOM KOMEN DISINI

IKLAN @ mffzone

Related Posts with Thumbnails